Tuesday, 10 March 2015

CINTA : FITRAH ATAU FITNAH


Bila sebut pasal cinta, pasti ada yang berkata “ Itu semua fitrah manusia. Allah yang bagi perasaan cinta ni. “ Ya, memang benar perasaan cinta itu datang dari-Nya dan semua perkara yang kita lakukan juga datang dari-Nya. Namun, adakah cinta itu disalurkan pada jalannya? Atau sekadar menjadi pemuas hawa nafsu yang sering digoda syaitan? Di manakah kedudukan kita dalam mengawal cinta dan menangani hawa nafsu?

                “ Aku dah jatuh cinta dengan si Fatihah tu. Tapi, aku tak tahu bagaimana nak luahkan perasaan ini. Atau aku hanya perlu berdiam diri sahaja?” luah Khair. Salman yang mendengar luahan tersebut hanya tersenyum seraya berkata, “ Khair, kita ni baru 17 tahun. Banyak lagi onak dan duri yang akan kita tempuh selepas ini. Di universiti, di tempat kerja, nanti kau akan jumpa ramai lagi wanita-wanita yang lebih hebat dari Si Fatihah. Kau percayalah cakap aku.”

                Itulah antara perbualan-perbualan yang sering meniti di bibir remaja kini. Kebanyakan remaja tidak mengerti apakah yang dimaksudkan dengan ‘CINTA’. Adakah ia sekadar perasaan atau satu anugerah dari Allah? Sebenarnya cinta boleh jadi perasaan mahupun anugerah. Yang membezakannya ialah cara kita mengawalnya.


Para pembaca yang budiman,

                CINTA yang hakiki hanyalah kepada Yang Maha Mencipta. Tidak perlu disalurkan cinta itu sebelum cinta sampai kepada pemiliknya terlebih dahulu. Seandainya kita merasakan diri kita sudah terjerumus dalam percintaan, hisablah kembali adakah kita telah mencintai Yang Maha Esa? Jika ya, adakah kita telah membuktikannya? Justeru, zaman remaja ialah zaman yang paling sesuai untuk mengejar cinta. Bukan cinta yang beralaskan nafsu tetapi cinta yang hakiki yakni cinta pada Yang Satu.

                Oleh yang demikian, tetapkanlah cinta kita kepada Allah Yang Esa agar kita dikurrniakan perasaan ‘mencintai orang yang dicintai dan dicintai orang yang mencintai’. Benarlah remaja zaman kini ramai yang lalai dalam arus percintaan, namun adakah kita ingin turut lalai bersama mereka, atau terus berusaha menyedarkan mereka? Hampir 24 jam menghabiskan masa di telefon. Sehinggakan ada yang berkomunikasi hal-hal sensitif yang boleh menaikkan syahwat. Di manakah nilai Islam sebagai agama yang suci andai masalah ini terus berleluasa?



 Mari sama-sama kita renungkan kisah percintaan sejati sahabat Baginda Rasulullah, Saidina Ali R.A dan puteri Rasulullah S.A.W, Saidatina Fatimah R.A.  Hanya baju perang yang menjadi mahar perkahwinan mereka. Kesucian cinta mereka terbukti apabila Saidina Ali R.A. menyembunyikan perasaan tersebut kerana menganggap dirinya tidak layak untuk bersama puteri kesayangan Rasulullah S.A.W. Pada hakikatnya, bukan baju perang yang membuatkan Rasulullah menerima pinangan Saidina Ali R.A. tetapi kesucian cinta yang telah dikawal dan dijaga dengan ketakwaan kepada Allah S.A.W. telah menarik perhatian Rasulullah.


Akhir kalam, perasaan cinta yang telah terjalin dalam diri sebenarnya fitrah daripada Allah S.W.T. Namun, peranan setiap individu bagi memastikan cinta tidak membawa ke lembah kemasksiatan. Hakikatnya, cinta yang sebenarnya fitrah boleh membawa kepada fitnah.