Tuesday, 10 March 2015

CINTA : FITRAH ATAU FITNAH


Bila sebut pasal cinta, pasti ada yang berkata “ Itu semua fitrah manusia. Allah yang bagi perasaan cinta ni. “ Ya, memang benar perasaan cinta itu datang dari-Nya dan semua perkara yang kita lakukan juga datang dari-Nya. Namun, adakah cinta itu disalurkan pada jalannya? Atau sekadar menjadi pemuas hawa nafsu yang sering digoda syaitan? Di manakah kedudukan kita dalam mengawal cinta dan menangani hawa nafsu?

                “ Aku dah jatuh cinta dengan si Fatihah tu. Tapi, aku tak tahu bagaimana nak luahkan perasaan ini. Atau aku hanya perlu berdiam diri sahaja?” luah Khair. Salman yang mendengar luahan tersebut hanya tersenyum seraya berkata, “ Khair, kita ni baru 17 tahun. Banyak lagi onak dan duri yang akan kita tempuh selepas ini. Di universiti, di tempat kerja, nanti kau akan jumpa ramai lagi wanita-wanita yang lebih hebat dari Si Fatihah. Kau percayalah cakap aku.”

                Itulah antara perbualan-perbualan yang sering meniti di bibir remaja kini. Kebanyakan remaja tidak mengerti apakah yang dimaksudkan dengan ‘CINTA’. Adakah ia sekadar perasaan atau satu anugerah dari Allah? Sebenarnya cinta boleh jadi perasaan mahupun anugerah. Yang membezakannya ialah cara kita mengawalnya.


Para pembaca yang budiman,

                CINTA yang hakiki hanyalah kepada Yang Maha Mencipta. Tidak perlu disalurkan cinta itu sebelum cinta sampai kepada pemiliknya terlebih dahulu. Seandainya kita merasakan diri kita sudah terjerumus dalam percintaan, hisablah kembali adakah kita telah mencintai Yang Maha Esa? Jika ya, adakah kita telah membuktikannya? Justeru, zaman remaja ialah zaman yang paling sesuai untuk mengejar cinta. Bukan cinta yang beralaskan nafsu tetapi cinta yang hakiki yakni cinta pada Yang Satu.

                Oleh yang demikian, tetapkanlah cinta kita kepada Allah Yang Esa agar kita dikurrniakan perasaan ‘mencintai orang yang dicintai dan dicintai orang yang mencintai’. Benarlah remaja zaman kini ramai yang lalai dalam arus percintaan, namun adakah kita ingin turut lalai bersama mereka, atau terus berusaha menyedarkan mereka? Hampir 24 jam menghabiskan masa di telefon. Sehinggakan ada yang berkomunikasi hal-hal sensitif yang boleh menaikkan syahwat. Di manakah nilai Islam sebagai agama yang suci andai masalah ini terus berleluasa?



 Mari sama-sama kita renungkan kisah percintaan sejati sahabat Baginda Rasulullah, Saidina Ali R.A dan puteri Rasulullah S.A.W, Saidatina Fatimah R.A.  Hanya baju perang yang menjadi mahar perkahwinan mereka. Kesucian cinta mereka terbukti apabila Saidina Ali R.A. menyembunyikan perasaan tersebut kerana menganggap dirinya tidak layak untuk bersama puteri kesayangan Rasulullah S.A.W. Pada hakikatnya, bukan baju perang yang membuatkan Rasulullah menerima pinangan Saidina Ali R.A. tetapi kesucian cinta yang telah dikawal dan dijaga dengan ketakwaan kepada Allah S.A.W. telah menarik perhatian Rasulullah.


Akhir kalam, perasaan cinta yang telah terjalin dalam diri sebenarnya fitrah daripada Allah S.W.T. Namun, peranan setiap individu bagi memastikan cinta tidak membawa ke lembah kemasksiatan. Hakikatnya, cinta yang sebenarnya fitrah boleh membawa kepada fitnah.

ANTARA SAYANG, SUKA DAN CINTA

Siutasi 1
“Ya Allah, aku tidak mengerti apakah perasaan yang telah mengalir dalam diriku ini sehinggakan hampir setiap detik aku memikirkan si dia. Apakah ini yang dikatakan CINTA?”


Situasi 2
“ Anis, sebenarnya dah lama saya SUKA awak. Tapi selama ni saya pendam. Adakah awak juga menyukai saya?”


Situasi 3
“ Amin, aku buat semua ni sebab aku SAYANG kau. Mesti kau marah kat aku kan?”


            Ketiga-tiga situasi di atas mungkin pernah dialami oleh kita. Kalau bukan semu sekalipun, sekurang-kurangnya kita pernah mengalami salah satu situasi tersebut, kan? Begitulah lumrah hidup remaja zaman kini yang masih belum mengerti untuk membezakan antara SAYANG, SUKA dan CINTA. Pada zahirnya, perkataan-perkataan ini mempunyai maksud yang hampri sama namun pada hakikatya, ia cukup berbeza.

            CINTA!!! Ramai yang kurang mengerti maksud perkataan ini. Ramai juga yang menyalahertikan anugerah Allah ini. Semakin dunia melangkau usia, semakin ramai remaja enak diulit cinta. Mereka diulit cinta yang tidak pernah dikawal oleh iman dan akal. Justeru, syaitan mengambil alih tanggungjawab sebagai nakhoda manakala nafsu menjadi sang penunjuk arah. Apabila perkara ini berlaku, arah yang dituju tentunya bukan pulau kebahagian mahupun pulau harta karun, tetapi kapal akan dipandu menuju ke pulau kebinasaan. Jalannya nampak indah dengan pukulan badai yang lembut, namun hakikatnya pulau tersebut membawa malapetaka. Kerana cinta yang tidak dikawal lahirnya anak-anak luar nikah.

            Jadi, jangan mudah terpedaya dengan kata-kata cinta yang sebenarnya hanyalah kata-kata nista. Kejarlah dahulu cinta pada Yang Maha Pencipta sebelum mencari cinta pada yang dicipta. InsyaAllah, Allah akan mencampakkan perasaan cinta yang suci dalam hati mereka yang menyempurnakan cinta kepada-Nya. Ingat, CINTA bukan perkataan yang sesuai digunakan untuk remaja seperti kita.

            SUKA!!! Perasaan yang akan lahir dalam diri hampir setiap individu apabila mencecah usia remaja. Di awal remaja, manusia akan mula diuji dengan ujian perasaan ataupun ujian hati. Dan kebanyakannya leka dengan ujian ini.  Benar, ujian hati merupakan ujian yang amat sukar dihadapi. Hanya kerana kurangnya penghayatan Islam, kurangnya ilmu-ilmu agama serta rapuhnya iman terhadap Yang Maha Esa. Fikir-fikirkanlah bagaimana kesudahan para remaja yang sanggup bermujahadah melawan perasaan tersebut.



            ‘Ahmad Ammar Asy-Syahid.’ Nama yang sering meniti di bibir para remaja sekarang. Pasti Allah pernah mengujinya dengan ujian perasaan. Namun, beliau tidak terus melayan perasaan tersebut dan akhirnya lalai seperti kita. Itulah antara kisah mujahadah seorang mujahid Islam yang akhirnya pergi dalam husnul khatimah. Beliau juga manusia biasa yang makan dan minum. Beliau juga punya masa 24 jam sehari semalam. Di manakah mampu dicari syabab sehebat beliau andai sedikit ujian perasaan sudah mampu menggoyah keimanan kita? Tepuk dada, tanya iman.

            SAYANG!!! Bukan hanya boleh digunakan untuk mereka yang berlainan jantina. Perasaan ini sebenarnya satu jalinan yang suci berasaskan muhibbah dengan berpaksikan ukhuwah fillah bersandarkan Firman Allah “ Sesungguhnya orang-orang Islam itu bersaudara.” Perasaaan inilah yang sewajarnya ditanam dalam diri setiap individu muslim sebagai menghadapai segala mehnah dalam perjuangan.

            Seorang da’ie perlu menyayangi setiap mad’u. Seorang abang harus menyayangi adik-adiknya begitulah sebaliknya seorang adik harus menyayangi abang dan kakanya. Yang peling penting, seoranh sahabat wajib menyayangi sahabatnya. Sayang bukan bermakna menyokong segala perbuatannya. Sayang seorang sahabat hanya terbukti apabila mereka sanggup mengorbankan persahabatan yang telah dijalinkan bagi mengelakkan kita tercampak ke lembah kebinasaan. Sebagai contoh, sahabat sejati akan menegur kita yang sedang leka bergayut dengan kekasih melalui telefon walaupun mungkin akan dimarahi atau dicaci. Justeru, perasaan sayang inilah sebenarnya akan melahirkan ikatan ukhuwah yang suci berpaksikan ketakwaan kepada Yang Maha Esa.




            Akhir kalam, ingatlah bahawasanya setiap ujian yang Allah turunkan adalah untuk menguji keminan hamba-hambanya. Firman Allah yang bermaksud “ Adakah kamu mengira kamu sudah beriman, sedangkan kamu belum diuji...”. CINTA, SAYANG dan SUKA mempunyai makna yang cukup berbeza. 

Beware of these magical words if you want to use it.”